Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

"Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."


Manusia semakin mengganas (Apabila ALLAH terlalu Murka...)


PETIKAN RENCANA (25/1/2004)

Hukum dan rawat di penjara - Jahatnya pesalah rogol berpunca daripada salah didik dan genetik


MUKADIMAH

DUA kes rogol dan bunuh melibatkan dua kanak-kanak dalam tempoh selang 10 hari baru-baru ini adalah sesuatu yang memang cukup mendera emosi kita semua. Seluruh masyarakat memberikan reaksi yang dapat diduga.

Kemuncak daripada pelbagai pandangan yang keluar dari hati yang geram itu ialah cadangan supaya pesalah-pesalah rogol dihukum sebat di khalayak ramai. Orang percaya ia akan menjadi pengajaran dan harapannya pupuslah spesies manusia binatang itu.


Tetapi sebagai seorang pakar yang mengkaji jiwa manusia, Prof. Dr. Azhar Md. Zain berkata,  

'Tiada apa-apa pun sebenarnya yang ditakuti oleh manusia jenis ini.
`Kalau hendak buat, dia buat juga tanpa memikirkan apakah hukumannya nanti,'' kata Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia itu. 

Katanya, ' manusia jenis ini kalau nafsunya sudah naik beraja di kepala akan `menyapu' sesiapa saja yang melintas di depan mata, tidak kira kanak-kanak mahupun wanita tua bangka'

Dalam wawancara dengan wartawan NOOR AZAM SHAIRI dan RAMLI ABDUL KARIM, Prof Dr. Azhar cuba mengajak masyarakat yang sedang meluap rasa marahnya melihat cara lain untuk menyelesaikan masalah yang semakin tenat itu.
Beliau bercakap tentang program pemulihan di penjara yang katanya, semacam gagal membetulkan manusia yang terpesong untuk kembali ke pangkal jalan.


Dalam kedua-dua kes itu, mereka yang diberkas mempunyai rekod jenayah sebagai penagih dadah dan ada juga yang pernah keluar masuk penjara.
Mengulas hal itu, Prof Dr. Azhar berkata: `Kita perlu merawat jiwa mereka yang ada di penjara, bukan saja untuk menyelamatkan mereka tetapi juga masyarakat.''

Dalam wawancara ini, Prof Dr. Azhar juga menyentuh tentang pendekatan yang kurang sesuai yang digunakan di sekolah untuk menangani masalah disiplin di kalangan para pelajar.

MINGGUAN: Kita masih gagal membendung jenayah rogol dan bunuh melibatkan kanak-kanak. Kenapa?

PROF DR. AZHAR: 
Ada banyak faktor sebenarnya kenapa jenayah itu terus berlaku. Ini kerana orang yang hendak melakukannya sentiasa ada dan apa yang kita buat tidak akan dapat membendungnya. Apabila berlaku kejadian seperti ini, biasanya kita akan lebih berjaga-jaga. Tetapi sifat manusia memang begitu. Kita beringat sekejap saja, selepas itu terlupa dan leka semula. Apabila berlaku lagi, baru kita akan terjaga dan selepas itu bising sekali lagi.
Jenayah seperti ini memang sukar dibendung 100 peratus. Di mana-mana pun perkara seperti ini berlaku, termasuk di negara yang undang-undangnya ketat sekalipun. Ini kerana manusia yang mempunyai kelainan dan sumbaleweng (perversion) seperti ini ada di mana-mana.
Selagi ada manusia jenis ini, mereka akan berusaha untuk melakukannya. Apabila ada peluang walaupun sedikit, mereka akan menggunakannya sebaik mungkin, sama seperti striker bola sepak di depan pintu gol.

Kepada Prof., mereka itu penjenayah atau pesakit?

PROF DR. AZHAR: 
Mereka ini memang penjenayah. Tetapi ada faktor-faktor tertentu yang mendorong mereka melakukan jenayah itu. Maksud saya, jahatnya itu didorong oleh beberapa faktor termasuk genetik dan juga biologi.
Saya melihat tindakan mereka itu seolah-olah menggambarkan mereka ada gangguan psikopatik atau gangguan personaliti antisosial. Orang yang mempunyai personaliti seperti ini biasanya tidak mengikut undang-undang. Dia ada undang-undangnya sendiri. Maksud saya, kalau dia hendakkan sesuatu dia akan dapatkan tanpa risaukan akibatnya.
Ada orang menganggap ini satu penyakit dan ada yang menganggapnya jenayah. Kalau kita perhatikan, hampir 90 peratus daripada penjenayah yang berada di penjara mempunyai tanda-tanda personaliti antisosial ini. Majoriti penagih dadah juga ada ciri-ciri personaliti ini. Dalam kedua-dua kes itu, tertuduh merupakan penagih dadah, dan kemungkinan besar tergolong dalam kelompok psikopatik atau antisosial ini.

Apakah ciri-ciri orang yang antisosial ini?

PROF DR. AZHAR: 
Mereka ini prinsip hidupnya melanggar hak orang lain. Kalau berkehendakkan sesuatu, mereka tidak peduli apa-apa lagi asal saja dapat apa yang dikehendaki. Kalau perlu mencuri, mereka akan mencuri. Kalau perlu mengganas, mereka akan mengganas. Kalau perlu merogol, mereka merogol.

Bagaimanakah gangguan itu boleh ada?

PROF DR. AZHAR: 
Mungkin faktor keturunan dan mungkin juga didikan. Kalau seseorang itu menjadikan bapanya yang suka memukul isteri, penagih dadah dan ganas sebagai role model, dia akan menerima tingkah laku itu sebagai sebahagian daripada cara hidup. Dia akan menerimanya sebagai satu kebiasaan sedangkan hakikatnya tidak begitu.
Ada juga teori yang mengatakan ia berlaku akibat keadaan persekitaran. Ia dikatakan berlaku di kalangan mereka yang tinggal di kawasan yang sesak seperti penempatan setinggan. Tetapi daripada kes-kes yang ada teori ini tidak betul kerana kita pernah melihat ia juga berlaku di kalangan anak orang kaya.
Secara umumnya ada dua faktor yang berlaku serentak iaitu keturunan dan juga contoh ikut-ikutan daripada seseorang yang dijadikan role modelnya.


Manusia lahir seperti kain putih. Adakah ini bermakna masyarakat terlibat mencorakkan mereka menjadi kain yang kotor dan comot, menjadi manusia bersifat binatang?

PROF DR. AZHAR: 
Saya rasa ibu bapalah yang paling bertanggungjawab untuk mencorakkan anak-anak, bukan masyarakat keseluruhannya. Kalau nilai moral yang betul sudah terdidik, kalau masuk ke dalam masyarakat yang kucar-kacir sekalipun, insya-allah dia akan dapat bertahan dengan prinsip-prinsip hidupnya. Dia akan ada sistem pertahanan diri yang kukuh. Tetapi kalau itu sudah tiada, kita tidak boleh hendak menghukum masyarakat.



Bagaimanakah manusia bersifat binatang ini boleh lahir dalam sebuah masyarakat Melayu beragama Islam dan hidup dalam lingkungan nilai-nilai ketimuran?

PROF DR. AZHAR: 
Sebenarnya orang seperti ini ada dalam mana-mana masyarakat, dalam apa juga budaya dan agama. Apabila sudah ada sifat-sifat personaliti antisosial itu, nilai-nilai agama sudah tidak lagi memberikan kesan. Ini kerana sejak dari kecil nilai-nilai itu memang sudah tiada. Apa yang ada hanyalah untuk mendapatkan kepuasan dengan serta-merta.
Mereka ini seperti kanak-kanak yang belum matang, yang kalau berkehendakkan sesuatu, mahu pada waktu itu juga. Kalau tidak diberikan mereka akan berguling-guling di atas tanah, dan setelah diberikan mereka akan diam. Mereka ini begitulah. Kalau hendakkan sesuatu, mereka mesti dapat dengan cara apa sekalipun. Kalau tidak dengan cara elok, mereka akan usahakan dengan cara yang tidak elok.
Walaupun perangainya begitu tetapi secara semula jadi mereka ini pandai mengambil hati orang. Kita lihat bagaimana kebanyakan penagih dadah itu apabila bercakap mudah menyebabkan orang percaya kepada mereka. Mereka bersumpah tidak buat lagi, menyesal dan bertaubat, dan orang percaya. Mereka bukan saja tahu mengambil hati orang tetapi tahu menipu. Tetapi akhirnya mereka boleh melakukan sesuatu yang tidak disangka-sangka. Proses menipu itu adalah cara mereka memanipulasikan orang lain.

Adakah mereka ini waras tetapi hanya hilang pertimbangan ketika melakukan jenayah, atau mereka ini sememangnya tidak waras?

PROF DR. AZHAR: 
Tidak, bukannya tidak waras dalam erti kata gila. Mereka masih tahu membezakan yang mana betul, yang mana salah. Cuma apabila berkehendakkan sesuatu, mereka tidak lagi mempedulikan betul salahnya. Sungguhpun tahu sesuatu perkara itu salah tetapi mereka akan tetap lakukan kerana menganggap ia adalah haknya, hak orang lain mereka tidak peduli.
Membuat perkara yang salah itu kepada mereka normal. Mereka tidak anggap ia sebagai sesuatu yang akan menimbulkan kebencian orang. Kepada mereka, orang hendak suka atau benci sudah tidak mustahak. Apa yang lebih penting keinginannya itu dipenuhi, itu saja.


Bagaimanakah kita boleh mengesan mereka?

PROF DR. AZHAR: 
Mereka ini manipulatif. Kalau biasa bercakap dengan mereka, kita boleh perasan yang mereka ini mahu mengambil kesempatan. Misalnya, mereka boleh memburuk-burukkan orang lain hanya semata-mata untuk berbaik dengan kita.
Mereka juga tidak dapat mematuhi norma-norma sosial termasuk dari segi tingkah laku. Mereka ini suka menipu dan menggunakan nama orang lain untuk kepentingan sendiri. Mereka juga impulsif, kalau hendak buat sesuatu tidak merancang. Kalau ada sesuatu yang menarik di depan mata, mereka akan terus mencuri, misalnya.
Mereka juga mudah marah dan agresif dari segi fizikal. Mereka tidak mementingkan keselamatan diri sendiri serta orang lain. Kalau rasa hendak mencuri, dalam keadaan ada polis sekalipun dia akan tetap mencuri, tidak fikir-fikir lagi. Dalam kes-kes rogol misalnya kita lihat bagaimana ia boleh dilakukan pada waktu tengah hari dan di kawasan yang agak terdedah.
Mereka juga tidak bertanggungjawab, misalnya selalu tidak datang kerja, mabuk dan mengambil dadah. Mereka ini tidak ada rasa menyesal atau bersalah. Rasa itu langsung tidak ada; hatinya kering.

Ini tanda tanya besar dalam masyarakat hari ini. Ketika masyarakat umumnya melihat kanak-kanak sebagai insan lemah yang patut dilindungi dan dikasihi, ada juga yang melihatnya sebagai objek seks. Kenapa?

PROF DR. AZHAR: 
Hanya fidofilia saja yang menganggap kanak-kanak sebagai objek seks kerana itu saja cara mereka mencapai kepuasan. Tetapi orang yang antisosial ini pula tidak mengira umur. Mereka tidak memilih. Kanak-kanak dan orang tua 70 tahun pun dia sanggup rogol kalau sudah bernafsu. Apabila perlu melepaskan nafsunya dan ada peluang, mereka akan sapu. Saya tidak fikir mereka ini mendapat kepuasan daripada seks ganas. Kanak-kanak itu dibunuh kerana mereka bimbang jenayah itu akan diketahui.

Orang menganggap dua kes ini menggambarkan keruntuhan nilai dan moral. Tetapi kepada Prof. ini masalah mental yang perlu dirawat.

PROF DR. AZHAR: 
Memang ia melibatkan masalah kesihatan mental tetapi itu bukan bermakna mereka yang melakukannya itu tidak boleh dilihat sebagai penjenayah. Apa yang telah mereka lakukan itu tetap satu jenayah. Kesalahan tetap satu kesalahan, dan mereka perlu melalui proses undang-undang.
Tetapi pada masa yang sama, ada juga kes-kes yang boleh dibantu dengan rawatan supaya apabila mereka selesai menjalani hukuman dan keluar dari penjara, mereka tidak akan melakukannya lagi. Apabila masalah anti sosial ini tidak dibendung, setelah keluar penjara mereka akan mengulanginya lagi.
Kalau pesalah itu dihukum bunuh selesailah masalahnya tetapi apa yang kita bimbang ialah mereka yang menjalani hukuman penjara. Kalau pakar psikiatri merasakan pesalah itu berbahaya dan ada kemungkinan untuk melakukannya lagi, mungkin orang seperti ini sepatutnya dipenjara seumur hidup.
Kita perlu merawat mereka untuk melindungi masyarakat. Apa yang berlaku sekarang dalam kebanyakan kes ini, mereka bermula dengan melakukan jenayah kecil tetapi mahkamah tidak perasan mereka boleh melakukan jenayah yang lebih besar di kemudian hari selepas keluar dari penjara.
Kalau tingkah laku mereka itu dapat dikesan lebih cepat, mungkin kita dapat berusaha memulihkannya. Kalau mereka keluar penjara pun, mungkin kita patut ada satu sistem parol seperti yang diamalkan di negara lain. Ini satu cara untuk menyelamatkan masyarakat dan juga pesalah itu sendiri serta keluarganya. Sudah tentu ahli keluarga tertuduh itu berasa tertekan kerana masyarakat memandang serong dan mengutuk mereka. Mereka juga perlu dilindungi. Memang kita wajar marah tetapi ahli keluarga yang tidak bersalah itu juga terkena. Kita juga tidak boleh hendak menyalahkan masyarakat begitu kerana kes-kes seperti ini memang menyentuh emosi.

Adakah maksud Prof. sistem pemulihan di penjara sekarang tidak berkesan?

PROF DR. AZHAR: 
Maksud saya pemulihan di penjara itu tidak digunakan dengan sebaik mungkin; masih ada banyak ruang yang boleh dan perlu diperbaiki.
Sekarang memang ada doktor yang dibawa masuk ke penjara tetapi cuma apabila banduan sakit kepala, demam dan sebagainya. Kita tidak ada proses penyaringan ke atas semua banduan bagi menentukan tahap kesihatan mental mereka. Kalau kita kenal pasti mereka yang ada ciri-ciri antisosial itu, kita tentu boleh memberikan rawatan yang sewajarnya.
Maksud saya, rawatan psikiatri forensik itu boleh dipertingkatkan. Sekarang ini perkhidmatan pakar psikiatri hanya digunakan untuk mengesahkan sama ada seseorang tertuduh itu sedar atau tidak sedar semasa melakukan sesuatu jenayah.


Maksudnya kepakaran ahli psikiatri tidak digunakan sepenuhnya mencegah jenayah?

PROF DR. AZHAR: 
Ia tidak digunakan dengan sebaik mungkin. Kita juga kekurangan tenaga pakar kerana orang yang di luar penjara pun memang banyak yang bermasalah. Tetapi ini bermakna kerajaan boleh melatih lebih banyak lagi pakar psikiatri sehingga mungkin kita boleh ada sekurang-kurangnya seorang pakar di setiap penjara.
Seboleh-bolehnya, khidmat psikiatri ini digunakan di penjara sebagai sebahagian daripada proses pemulihan pesalah sebelum mereka masuk semula ke dalam masyarakat. Amalan ini ada di negara-negara maju. Di penjara yang menempatkan banduan-banduan tegar memang ada psikiatri yang akan memeriksa setiap banduan. Kita mungkin tidak mampu untuk memeriksa semua banduan tetapi kalau ada proses penyaringan, kita boleh kenal pasti banduan yang memerlukan rawatan.


Maksudnya kita belum betul-betul menggunakan kemajuan bidang ilmu itu?

PROF DR. AZHAR: 
Kita masih mengambil sikap tunggu dan lihat. Ada bidang yang kita hendak maju dan kita telah berikan tumpuan sepenuhnya, tetapi ada juga bidang yang kita masih ketinggalan.
Sekarang ini, kita diberitahu pusat-pusat serenti juga gagal. Kita tidak perlu menunggu sehingga 20 tahun untuk mengakui ia gagal. Sepatutnya dalam masa lima atau sepuluh tahun saja kita sudah sedar dan mengambil tindakan mengatasinya.
Saya rasa kita juga sepatutnya meletakkan masalah penagihan dadah ini bukannya di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri tetapi Kementerian Kesihatan. Sekarang kita tidak menjadikan rawatan itu sebagai sesuatu yang utama tetapi menghukum itu yang lebih optimum.
Itulah sebabnya kita lihat bagaimana rawatan penagihan oleh pihak swasta mendapat sambutan menggalakkan. Di situ, mereka ini tidak dianggap sebagai orang salah tetapi pesakit yang perlu dibantu. Memang ada di kalangan mereka itu yang antisosial dan jahat, dan mereka itu kita hukum. Tetapi ada juga yang sebenarnya sakit dan memerlukan rawatan. Kalau kita rawat dengan betul, peluang mereka untuk pulih sepenuhnya akan lebih baik.




Ini satu soalan yang hipotetikal. Sekiranya kerajaan membuat keputusan bahawa peranan psikiatri diperlukan untuk campur tangan dalam pemulihan di penjara, adakah pakar-pakar psikiatri kita bersedia?

PROF DR. AZHAR: 
Sekiranya kerajaan sanggup melatih lebih ramai lagi psikiatri, saya rasa boleh. Tahun ini saja misalnya hampir 30 pelajar yang datang interviu memohon untuk memasuki kursus pakar psikiatri tetapi kita hanya mampu untuk ambil sepuluh orang saja. Ini kerana peruntukan yang ada hanya cukup untuk melatih sebanyak itu saja.

Prof. bercakap tentang penagih dadah dan banduan yang sememangnya diketahui telah terjebak. Tetapi adakah langkah pencegahan yang lebih awal daripada itu?

PROF DR. AZHAR: 
Saya fikir kita perlu memberikan penekanan kepada aspek pencegahan di sekolah-sekolah. Kita boleh mengenal pasti kes-kes antisosial ini sejak di bangku sekolah. Itu sebabnya kita percaya ia ada kena-mengena dengan faktor keturunan dan kita boleh kesan sejak kanak-kanak lagi. Cuma kita tidak memanggilnya sebagai antisosial tetapi salah laku.
Salah laku ini bermula dengan kesalahan-kesalahan seperti ponteng sekolah dan merokok. Inilah kesalahan paling kecil yang boleh dikesan dari awal. Kalau kita tidak campur tangan cuba menghentikannya, mereka ini akan graduate dan menjadi lebih teruk lagi. Mereka akan keluar dari sistem yang ada di sekolah dan hanya menyertai kelompok yang sejiwa dengan mereka.
Sistem persekolahan kita juga hanya mementingkan yang terbaik. Ini juga menimbulkan tekanan kepada pelajar kerana bukan semuanya mempunyai IQ yang baik. Kita tidak mempunyai saluran untuk mereka yang IQnya kurang baik.
Kalau kita lihat di Jerman misalnya, kelompok yang kurang dari segi pelajaran ini sudah dikenal pasti sejak awal. Kalau mereka itu dilihat ada potensi untuk menjadi juruteknik, mereka akan diberikan latihan yang sewajarnya untuk jadi juruteknik yang baik. Mereka ini diberikan peluang yang sewajarnya untuk berkembang menjadi pelukis, tukang masak atau penyanyi. Mereka ini akan lahir menjadi cemerlang dalam bidang masing-masing.

Betullah kata orang, masyarakat kita mempunyai nilai yang salah tentang hidup. Kita hanya terima orang yang lulus cemerlang saja.

PROF DR. AZHAR: 
Ya, tetapi kita terlupa bahawa mereka yang cemerlang dalam peperiksaan itu belum tentu boleh menjadi orang yang juga berjaya dalam hidupnya. Mereka mungkin pandai dari segi pelajaran tetapi kemanusiaannya juga mungkin kurang.


Empat lima bulan lalu kita dikejutkan dengan masalah gengsterisme di sekolah. Penyelesaiannya, mereka dibuang sekolah. Komen Prof.?

PROF DR. AZHAR: 
Saya fikir kita hanya akan menambah masalah. Memang di sekolah yang terlibat masalah sudah tidak ada. Pelajar-pelajar itu dibuang dan sekolah jadi bersih. Tetapi adakah kita terfikir apakah yang akan terjadi kepada mereka itu nanti?
Mereka inilah yang berpotensi tinggi untuk graduate melakukan hal-hal yang lebih tinggi kerana dalam diri mereka sudah ada tingkah laku tersebut.

Bolehkah mereka dipulihkan?
 
PROF DR. AZHAR:  
Ada yang boleh dipulihkan 100 peratus, ada yang sebahagiannya saja dan ada juga yang tidak boleh dipulihkan langsung. Tetapi sekurang-kurangnya kita kenal mereka dan kita boleh menyusun program yang berterusan untuk mereka.
Mereka yang boleh dipulihkan 100 peratus itu alhamdulillah tetapi kita juga sepatutnya ada program khusus untuk mereka yang hanya dapat dipulihkan 50 peratus, misalnya. Sekurang-kurangnya kita ada data dan ke mana saja mereka pergi kita boleh pantau. Sekurang-kurangnya keadaan akan jadi lebih selamat.
Di Amerika Syarikat misalnya, ada data pesalah-pesalah kes jenayah seksual ke atas kanak-kanak. Pihak berkuasa tahu di mana mereka berada. Apabila ada kes di sesuatu tempat, pihak berkuasa boleh tahu ada berapa orang yang boleh disyaki.


Prof. bercakap tentang pelajar-pelajar yang tidak dirawat. Mungkin kita ini suka menunjuk kuasa - kerana mereka langgar peraturan, mereka kita hukum. Reaksi terhadap dua kes rogol ini juga begitu. Malah sesetengah orang terlalu emosional mencadangkan hukuman. Soalnya, adakah undang-undang masih berkesan? 

PROF DR. AZHAR: 
Kalau hendak buat, dia akan buat juga tanpa memikirkan apakah hukumannya nanti. Tetapi itu tidak bermakna kita kurangkan hukuman. Mereka yang bersalah patut dihukum termasuk disebat. Tetapi saya kurang yakin dengan sebatan itu mereka akan menjadi baik.
Saya pernah ditugaskan memeriksa banduan yang akan disebat. Saya lihat banduan itu sudah ada enam parut sebatan di belakangnya. Dia keluar penjara, ditangkap semula dan hendak dihukum sebat lagi. Maknanya hukuman itu tidak menjadi pengajaran kepadanya. Kalau hendak buat, dia akan buat juga.
Itu sebab saya katakan kita perlu ada program yang mengawal mereka supaya tidak berpeluang melakukannya lagi. Kalau betul-betul bermasalah, mungkin mereka patut dipenjarakan seumur hidup. Masyarakat akan lebih selamat kalau mereka ini berada di penjara. Jadi perlu ada laporan perubatan yang boleh membantu hakim memilih bentuk hukuman.
Ambil contoh kes mencabul kehormatan. Sekiranya doktor berpendapat pesalah itu ada potensi untuk jadi perogol, tentulah lebih baik masukkan dia ke penjara untuk satu tempoh yang tidak ditentukan, bergantung kepada rawatan yang akan diberikan. Ini sama seperti pesalah yang didapati gila dan dipenjarakan atas perkenan Seri Paduka.


Kalau bukan undang-undang, apakah yang mereka takutkan?

PROF DR. AZHAR: 
Tidak ada apa yang mereka takutkan sebenarnya. Berdasarkan pengalaman saya, mati pun mereka tidak takut. Mereka ini tidak ada perasaan. Tidak ada rasa menyesal, bersalah atau kasihan. Kalau kita boleh sukat, emosi mereka kosong.

Menurut kajian Prof, adakah jumlah golongan antisosial ini membimbangkan?

PROF DR. AZHAR: 
Saya rasa keadaannya sama saja dengan di negara-negara lain. Golongan ini secara tidak langsung bertambah kerana jumlah penduduk bertambah. Nampak seolah-olah ramai tetapi dari segi peratusannya masih tidak membimbangkan, lebih kurang satu peratus saja. Mereka yang betul-betul antisosial itu tidak ramai tetapi mereka yang terikut-ikut itu yang banyak. Golongan yang terikut-ikut itulah yang perlu kita asingkan dan rawat lebih awal.

Ibu bapa sekarang risaukan keselamatan anak-anak di luar rumah. Adakah itu berasas?

PROF DR. AZHAR: 
Kebimbangan itu wajar kerana masyarakat akan melihat dua kes itu dan membuat kesimpulan secara umum. Tetapi saya fikir ada juga hikmahnya di sebalik dua kejadian itu, bahawa ia menjadikan kita lebih berjaga-jaga.

Kita ini selalu sudah terhantuk baru hendak tengadah. Apakah harapan Prof. daripada dua kes ini?

PROF DR. AZHAR: 
Pertama, kita harus lebih berjaga-jaga kerana kita sukar mengenal orang yang berpotensi melakukan jenayah seperti ini. Cuma kita tahu ciri-ciri mereka. Saya juga berharap ibu bapa akan lebih berhati-hati mengawal anak-anak.
Saya amat berharap emosi dan reaksi daripada kedua-dua kes ini akan menghasilkan sesuatu yang lebih positif. Kita perlu kepada satu proses pemulihan dan sistem hukuman yang lebih baik. Kita perlu menghukum dan pada masa yang sama, merawat. Kita merawat bukan saja untuk menyelamatkan mereka keluar daripada masalah mental itu tetapi juga bagi melindungi masyarakat secara umumnya.
Kita juga mungkin perlu memikirkan cara dan pendekatan lain untuk memulihkan para pelajar yang mempunyai masalah disiplin di sekolah. Kita tidak perlu membiarkan mereka sehingga jadi gengster. Mereka ini jika tidak ditangani dengan betul akhirnya akan dewasa dan berpotensi menjadi penjenayah.

No comments: