Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

"Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."


Ayah dan catatan penghabisanku tentangnya (In memory 7 Oct 2008)



Bismillah...
(Catatan kenangan detik-detik terakhir pemergian Almarhum ayahanda Hj Abdul Rahim bin Fatimah pada 
7 October 2008 *Al-Fatehah) 

Inilah kali pertama aku balik ke rumah tanpa bersalaman dengan ayah, cuma mak yang menyambutku dengan senyuman tapi masih tidak dapat melindungi riak wajahnya yang masih diselubungi kesedihan.
Selama aku hidup, dibesarkan sehinggalah meninggalkan rumah itu atas urusan dunia, aku tetap balik juga setiap minggu menjenguk mereka selama berbelas-belas tahun lamanya.

Kali ini rumah itu terasa amat lengang...

Tempat pertama yang kutuju sebaik saja sampai ialah bilik solat dimana disitulah kebiasaannya ayah dan mak banyak menghabiskan waktu mereka dengan beribadat.
Tapi kali ini yang kulihat hanya kelibat seorang ibu yang sedang mengaji.
Kerusi tempat ayah solat keakhir-akhir hidupnya kerana tak mampu lagi solat berdiri, kosong...
Tasbih, Quran, kupiah dan serbannya masih ada disitu..
Airmataku jatuh...mulanya perlahan tapi kemudiannya semakin deras. Aku menangis semahu-mahunya sambil memeluk mak.

Aku amat rindukan ayah...ternampak2 dia sedang duduk, baring, tidur dan berdiri dimana-mana.
Ketika ayah pergi...gerimis yang mengiringi kepulangannya kehadrat ilahi dan hujan mulai turun berterusan seolah-olah mengiringi kenderaan yang membawa jenazahnya, sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Pahang. sedangkan ketika itu cuaca di bandar tempat kami tinggal amat panas terik.
Ayah pernah berkata, jika dia pergi dalam rupa yang senyum bermakna dia telah menerima 'khabar gembira'...InsyaAllah, mudah-mudahan.

Sebaik saja kain kafan yang menutup mukanya terbuka, kami semua terkejut dan menangis melihat raut wajahnya yang seakan-akan tersenyum seperti ketika dia masih hidup.
Ketika kami semua memandikan jenazahnya, semua kesan lebam suntikan pada lengan dan jemarinya hilang entah bagaimana. Kulitnya kembali seperti asal, bengkak pada kaki, lengan dan kesemua jarinya surut dan bersih seolah-olah tidak pernah ada kesan tusukan jarum. Kami semua menangis melihat jenazah ayah sewaktu dikafankan seperti sedang tidur...mata dan mulutnya tertutup amat rapat. Selepas solat maghrib, ayah dikebumikan dalam keadaan hujan yang masih belum berhenti dan hanya reda sebaik saja menjelang tengah malam. Keesokan harinya keadaan cuaca kembali panas terik.

Selama hayatnya, dia selalu berpesan kepada kami supaya selalu melakukan solat taubat dan mengamalkan beberapa surah yang terdapat dalam Al-Quran terutamanya surah Al-Mulk, Al–Waqiah,
As-Sajadah, Yassin, Al-Khafi, Ad-Dhuhan, Al-Ikhlas, selawat, istigfar dan mesti selalu membaca Al-Quran dengan sebutan yang betul dan wajiblah mengerjakan solat dengan hati yang ikhlas dan jangan sesekali meninggalkannya.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia juga sempat berpesan, apabila dia berada dalam keadaan menghadapi sakaratul maut, ajarkannya menyebut khalimah Allah, setiap 10-15 minit. Tidak boleh terlalu kerap berbisik ketelinganya kerana pada masa itu dia berada dalam keadaan ”mabuk maut” dimana tentera iblis yang ramai akan mengelirukannya dengan bermacam-macam cara. Kalau dapat dia mendengar sebutan Allah, itu sahaja sudah memadai. Apabila nafasnya sudah benar-benar putus, boleh bersedih tetapi janganlah menangis terlalu kuat, jangan sesekali menjatuhkan air mata pada mukanya kerana dia akan merasa amat sakit dan apabila memandikan jenazahnya, jangan mengosok mayatnya terlalu kuat kerana itu juga akan membuatnya merasa sakit.
Kami melakukan kesemua seperti yang disuruh...dan akhirnya dia telah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya...

Ayah kata, nasib baik dia ada anak perempuan seorang, yang bersama-bersama mak menjaganya sewaktu dia sakit. Hatiku sayu mendengarnya...memang kebelakangan ini selama dia dalam keadaan yang uzur, aku tidur bersamanya dan mak. Aku tolong mak menjaga ayah, sebab kadang-kadang ayah memerlukan oksigen pada waktu tengah malam kerana sesak nafas. Kadang-kadang ayah sakit pinggang dan minta aku atau mak tolong urutkan pinggangnya atau kadang-kadang dia demam sampai mengigil-gigil, aku yang akan menyelimutkannya dengan berhelai-helai selimut yang tebal.

Pada hari raya pertama, keadaan ayah masih baik lagi, tapi dia bersedih dan menangis apabila kami semua bersalaman memohon ampun dan maaf dengannya. Pada pagi hari raya kedua, ayah masih sempat dan berdaya lagi mengerjakan solat subuh, tapi selepas itu dia mula muntah dengan teruk dan tak berhenti-henti...muntah berwarna hitam yang mengandungi darah mati, pendarahan dalaman dari beribu luka yang keluar dari perutnya. Sebelum masuk waktu zuhur, dia sudah merasakan yang dia sudah hampir dengan kematian dan akan pergi buat selama-lamanya pada bila-bila masa sahaja. Ayah memintaku membacakan untuknya surah Al-Ikhlas 100 kali dan meminta mak membaca selawat 10 kali kerana dia bimbang dia tidak berdaya lagi menghadapi sebarang kemungkinan nanti.

Dia juga berpesan, jika dia sudah tidak sedarkan diri selepas pukul 3 petang, bacalah surah Yassin untuknya sampailah saat dan hari dia pergi menghadap Allah SWT.
Sebaik saja melepasi pukul 3 petang, ayah sudah mulai separuh sedar. Ambulan datang membawanya ke hospital dan pada malam itu juga dia koma. Hatinya sudah tidak berfungsi, darahnya sudah dimasuki kuman dan dia mengalami pendarahan dalaman yang amat teruk. Dia hanya dapat bernafas dengan bantuan mesen pernafasan yang disalurkan melalui tekak hingga terus keparu-paru disamping dua lagi mesen untuk bantuan perubatan yang lain. Darahnya diambil setiap jam. Lengan, jemari dan kakinya penuh dengan kesan lebam tusukan jarum kerana uratnya amat sukar dicari. Aku merasa amat tertekan dan selalu menangis melihat dirinya dalam keadaan yang amat sakit.

Selama 6 hari dia dimasukkan ke HKL, mak dan kami adik beradik telah berkampung disitu. Kami sendiri yang menjaga dan menolong jururawat bertugas membersihkan ayah setiap pagi. Ketika ayah dalam koma, dahinya kerap mengeluaran titisan peluh, matanya juga kerap mengalirkan airmata terutama setiap kali mak dan kami semua bercakap dengannya. Akhirnya dia telah pergi buat selama-lamanya pada 7 Oktober, tepat pukul 1.05 petang, dalam bangunan utama, tingkat 4, wad 21, bilik no 6, HKL. Beberapa orang doktor yang merawat ayah datang mengucapkan tahziah kepada keluarga kami. Doktor Mike, doktor Rajesh, doktor Nita, doktor Kenny. Tiga daripada mereka adalah doktor pakar yang merawat ayah sejak dari dahulu lagi. Kesemua mereka sangat baik dan amat senang memberikan kerjasama. Aku dan keluarga amat berterima kasih diatas kesemua bantuan mereka selama kami berada disitu.

Ayah kata, bila dia mati, selain pahala amalannya sepanjang hidup, tiada apa lagi yang dapat membantunya disana kecuali doa dari anak-anak yang soleh dan solehah dan kalau sayangkannya, janganlah sesekali meninggalkan solat dan selalulah membuat kebaikan, bersedekah dan berdoa untuknya.
Aku dan adik beradik yang lain akan berusaha sedaya upaya menjaga mak walaupun kami tahu mak adalah seorang yang amat tabah, tak pernah berputus asa dan sentiasa tenang dan sabar bersama dan menjaga ayah selama ini tapi bila ayah sudah tiada, kamilah yang akan berusaha menjaga hatinya dan kalau boleh terutamanya aku, akan selalu berdoa pada tuhan, mudah-mudahan tuhan panjangkan umur mak. Beri dia kesihatan yang baik supaya aku dapat membalas semua jasa-jasanya walaupun tak mungkin akan terbalas selagi hayatku dikandung badan.

Ayah...
seorang yang amat penyabar, orang baik yang sangat tinggi ilmu agamanya itupun selalu berkata bahawa dia sangat takut pada Allah dan mati. Kerana itu dia selalu berusaha untuk taat menunaikan semua tanggungjawabnya sebagai hamba Allah dan sentiasa berusaha untuk tidak melanggar semua hukum-hukumNya dan meninggalkan semua laranganNya.

Kalaulah aku mati dalam keadaan yang lalai dan kotor begini, ke neraka jahanam manakah ruhku akan dicampakkan?
Ya Allah, sesungguhnya aku tak pernah minta untuk menjadi orang yang jahat, aku berdosa, selalu tersesat kerana imanku yang nipis. Ampunkanlah aku tuhan, tunjukkanku jalan yang benar-benar lurus supaya aku dapat bertaubat dalam pengertian taubat yang sebenar-benarnya. Itulah doaku setiap hari. 
Mudah-mudahan tuhan mendengar...
dan memberiku petunjuk serta menerima taubatku sebelum terlambat. 
Amin.






2 comments:

ppg said...

Al-fatihah...

PPG said...

Assalamulaikum...
Semalam before tidur ppg terus ambil Al-quran terjemahan dan membelek satu per satu dan seronok membaca aper yang ayah dah tanda...Wow..1 ayat, ppg terpaksa 3-4 kali untuk memahaminnya...Allah Maha Besar